Internet (singkatan perkataan bahasa Inggeris; inter-network) ialah rangkaian komputer yang berhubung menerusi beberapa rangkaian. Manakala Internet (huruf 'I' besar) ialah sistem komputer umum, yang berhubung secara sejagat dan menggunakan TCP/IP sebagai protokol pertukaran paket (packet switching communication protocol). Rangkaian internet yang terbesar dinamakan Internet. Cara menghubungkan rangkaian dengan kaedah ini dinamakan internetworking.
Sekiranya kita menggunakan komputer biasa(tanpa Internet), kita akan menyimpan data-data tersebut dalam bentuk fail di dalam 'hardisk' komputer kita dan hanya kita sahaja yang boleh membukanya. Tetapi di dalam istilah Internet ini pula, kita menyimpan fail tersebut di satu tempat di namakan 'host' yang mana seluruh rangkaian komputer di dunia ini boleh membaca fail tersebut. Dan inilah yang di katakan Dunia siber. Ia merupakan suatu perkhidmatan kepada kita semua. Sama juga dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang lain seperti elektrik, air, telefon, perubatan dan sebagainya.
Bilangan pengguna Internet yang besar dan semakin berkembang, telah mewujudkan budaya Internet. Internet juga mempunyai kesan yang besar ke atas ilmu, dan pandangan dunia. Dengan hanya berpandukan enjin gelintar seperti Google, pengguna di merata dunia mempunyai capaian serta-merta kepada bermacam-macam maklumat. Berbanding dengan buku dan perpustakaan, Internet melambangkan penyebaran(decentralization) maklumat dan data secara ekstrem.